A Great Birthday Present at Saint Petersburg

Perjalanan dari Moscow ke Saint Petersburg memakan masa selama 8 jam dengan menaiki keretapi malam. Sengaja aku pilih keretapi malam supaya dapat menjimatkan masa perjalanan dan kos penginapan untuk satu malam. Suhu di luar kira-kira 2 darjah celcius. Kami tiba di St. Petersburg keesokan paginya kira-kira jam 7 pagi. Tanpa membuang masa, kami mencari loker berkunci yang disediakan di stesen keretapi utama St. Petersburg. Selesai menyimpan bagasi dan membeli sedikit makanan di kedai serbaneka berdekatan, kami menikmati kopi panas yang dibeli di mesin vending. Terasa sangat nikmat.


Seterusnya, kami terus menuju ke Palace Square di tengah-tengah kota St. Petersburg di mana ia merupakan tempat berjumpa bagi Free Walking Tour yang kami tempeh sebelum ini. Seorang lelaki telah sedia menunggu kami sambil memegang sepanduk “Free Walking Tour”. Orangnya tinggi, fasih berbahasa Inggeris dan namun agak kurang dengan senyuman. Free Walking Tour ini adalah percuma. Sekiranya anda berpuashati dengan khidmat yang disediakan, anda boleh memberi tips yang berpatutan. Sekiranya tidak, maka tiada masalah. Lawatan ini mengambil masa selama 2 jam dengan berjalan kaki sambil melawat bangunan-bangunan penting dan diceritakan sejarahnya oleh lelaki tadi.

Selesai lawatan, kami berpisah di hadapan bangunan Nevsky Prospect. Oleh sebab masih terlalu awal, kami memutuskan untuk melawat Church of the Savior on Spilled Blood, sebuah gereja yang hampir sama bentuknya dengan St. Basil Cathedral di Moscow. Jika dibandingkan dari segi saiz gereja dan kubah, gereja ini sedikit kecil. Usai bergambar di sekitar kawasan tersebut, kami kemudiannya singgah di kedai cederamata yang terdapat di sekitar gereja tersebut untuk mencari pelekat magnet.


Setelah berpuas hati dengan apa yang dicari, kami meninggalkan kawasan tersebut untuk mendapatkan makanan tengahari. Restoran ini telah dicadangkan oleh tour guide sebentar tadi. Ia merupakan restoran layan diri dengan pelbagai makanan yang disediankan. Ketika hendak membayar makanan di kaunter, saya mencari-cari dompet saya yang diletakkan di dalam beg sandang saya namun gagal ditemui. Saya juga baru tersedar yang beg sandang saya itu telah terbuka. Saya tidak panik. Masih berlagak tenang. Dengan selambanya memberitahu rakan-rakan saya yang saya kehilangan dompet dan meminta mereka meminjamkan wang untuk membayar makanan saya.


Saya tidak sedar bilakan masanya beg saya dibuka. Di dalam dompet tersebut terdapat dokumen-dokumen pengenalan, lessen memandu, dua kad kredit, dua kad debit, dan wang tunai sebanyak 250 Euro dan beberapa wang tunai dalam matawang Ruble Rusia dan Vietnam Dong.
Oleh kerana baru sahaja mengambil makanan, kami memutuskan untuk menghabiskan makanan tersebut sebelum memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Dalam pada itu, saya juga cuba menelefon beberapa bank untuk membatalkan kad kredit dan debit kad saya dengan segera namun cubaan saya gagal. Tidak lama kemudian, saya menerima SMS pemberitahuan dari CIMB bank mengatakan ada pembayaran telah dibuat menggunakan kad debit saya. Waktu itu, saya telah mula berasa panik tapi masih tetap bertenang. Saya cuba dan cuba lagi untuk telefon keluar namun masih gagal. 


Selesai makan, kami bertanyakan lokasi balai polis terdekat kepada salah seorang pekerja restoran tersebut. Saya dan tiga lagi rakan saya cuba menuju ke lokasi yang dinyatakan dengan menaiki metro dan kemudian berjalan kaki. Tiba balai polis berkenaan (rupaya tidak langsung seperti balai polis), kami cuba memberitahu kaunter akan masalah yang kami alami. 


Nah, di sini juga ada masalah lain iaitu masalah komunikasi. Lagaknya seperti ayam dan itik. Sama-sama tidak memahami. Orang-orang Russia memang sangat sukar berbahasa Inggeris. Polis-polisnya juga tidak peramah. Mungkin juga tidak gemar dengan cara rakan saya, Lee Yen yang sedikit kecoh dan bising (memang sifatnya begitu) ketika bertanya. Kami juga cuba menggunakan Google Translate pada telefon pintar kami bagi menyatakan tujuan dan maksud kami ke situ. Berkerut-kerut juga muka mereka membacanya. Kami rasa mereka faham cuma ayatnya mungkin tidak teratur. Kami diminta untuk tunggu sebentar. 


Sementara itu, saya baru perasan yang simkad saya rupanya belum diaktifkan roaming antarabangsa. Selesai diaktifkan, saya terus menelefon ke Public Bank Credit Card Centre untuk membatalkan kad kredit saya. Saya juga menyemak sekiranya kad saya telah digunakan. Ternyata ada. Saya agak marah kerana tiada SMS pemberitahuan diterima. Saya cuba menyatakan perkara ini kepada operator berkenaan, tetapi yang malangnya saya pula yang dimarahi kerana tidak membatalkan kad tersebut serta merta. Walaupun saya telah menyatakan masalah saya, namun dia tetap menyalahkan saya. Agak biadap saya kira. 


Semua kad telah saya batalkan. Secara keseluruhan, dua kad kredit dan satu kad debit saya telah digunakan. Nasib saya masih dikira sangat baik kerana passport saya tidak hilang. Di celah-celah beg sandang saya masih terdapat sedikit wang tunai berjumlah 100 Euro yang saya simpan di dalam sampul secara berasingan. Cukup untuk sekadar makan dan bayar penginapan untuk lokasi seterusnya, Helsinki, Finland dan Tallin, Estonia.

Tidak lama selepas itu, seorang pegawai polis keluar dan meminta kami mengikutnya. Katanya perlu ke balai polis yang lain. Kami dihantar dengan menaiki kereta. Dia cuba bersikap ramah dan cuba berbual dengan kami tetapi hanya sedikit yang difahami. Sampai di lokasi berkenaan, kami diminta masuk ke dalam dan selesaikan masalah kami sendiri. Kami mengucapkan terima kasih dan nmelangkah masuk ke balai polis tersebut.


Di dalamnya terdapat sebuah kaunter, ada dua atau tiga orang pegawai polis di dalamnya. Masalah yang sama berulang lagi. Komunikasi. Maka berayam dan itiklah kami sekali lagi. Lebih parah apabila kami sekali lagi dimarahi tanpa mengambil apa-apa tindakan. Sehingga akhirnya seorang pegawai wanita keluar dan memberitahu masalah kami dengan menunjukkan ayat terjemahan di di telefon pintar kami kepadanya. Kemudian dia menjawab sebentar lagi seorang penterjemah akan datang untuk membantu kami.


Kami berasa sedikit lega. Namun balai polis tersebut tidaklah seperti balai polis yang biasa kita lihat. Balai polis di Malaysia ternyata jauh lebih baik. Hanya terdapat sebuah kaunter kecil di tingkat satu. Tiada kerusi, tiada apa-apa. Sambil menunggu, kami hanya menjadi pemerhati. Dapat juga menonton drama sebabak antara pengadu dan polis. Mereka ini bukannya orang yang gemar beramah-tamah atau cakap dengan berlemah-lembut. Kasar. Seperti hendak bergaduh.


Hampir sejam lebih menunggu, akhirnya penterjemahnya tiba. Aduhai, orangnya tersangat cantik, persis seorang model. Memang umum sedia maklum yang wanita Russia memang cantik-cantik orangnya. Sebagai perterjemah, sudah tentu Bahasa Inggerisnya bagus. Tidak perlu kami nyatakan lagi tujuan kedatangan kami. Dia sudah sedia maklum saya kehilangan dompet dan tujuan membuat laporan adalah untuk mendapatkan kenyataan polis bagi urusan tunturan insurans perjalanan. Hanya saya yang dibenarkan untuk naik ke tingkat atas. 


Proses tersebut mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam lagi. Saya tidak terlalu bosan kerana masih boleh bercakap dengan orang lain termasuk salah seorang mangsa kecurian dari Jepun, juga mengalami nasib yang sama, di tempat yang sama dengan saya. Selesai laporan dibuat, semuanya telah ditandatangan, seorang pegawai lelaki meminta saya mengikutnya turun ke tingkat bawah bagi mendapatkan salinan laporan. Laporan tersebut kemudiannya diserahkan kepada saya sambil diperhatikan oleh rakan-rakan saya. Sebelum beredar, kami mengucapkan terima kasih. Saya sempat juga berjenaka dengan pegawai tersebut. Saya tunjukkan passport saya dan tarikh lahir saya yang tertera pada laporan tersebut sambil berkata, “Guess what? Today is my birthday. Haha!”

Comments

Popular posts from this blog

Tips Visa ke Rusia: Double Entry

Advance Open Water Course @ Turtle Bay Divers, Perhentian

Phnom Penh and The Tragic History